Jika dalam masyarakat kita (setahu saya), biasanya ibubapa memulakan proses mengajar membaca ini dengan terus mengajar anak ABC dan membaca ketika umur mereka masuk 4-5 tahun. Ada yang bermula lebih awal lagi. Tetapi sebenarnya mengajar anak membaca dan memupuk minat membaca terhadap anak-anak adalah dua perkara yang sangat berbeza. Mengajar anak membaca tanpa memberi persediaan mental yang secukupnya dan memupuk rasa cintakan buku kepada anak tidak akan menjadikan anak itu seorang yang suka membaca. Anak anda mungkin boleh membaca seawal 1 tahun, 2 tahun, 3 tahun dan seterusnya, tapi tanpa rasa cinta dan minat yang mendalam, mungkin aktiviti itu tidak berterusan. Biar bermula lambat asalkan proses itu berlanjutan sehinggalah kita meninggalkan dunia ini.
Sayang sekali, budaya ini tidak diamalkan oleh umat Islam walhal perintah pertama yang turun oleh Allah kepada Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam dan umatnya adalah perintah untuk membaca. Kita perlu membaca dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan antara tanda Pemurahnya dan luasnya rahmat Allah adalah dengan menyediakan pelbagai lapangan ilmu dan mengajarkan penulisan kepada manusia. Dengan penulisanlah tersebarnya sesuatu ilmu, dan penulisan tersebut tidaklah bermanfaat melainkan apabila ianya dibaca.
Ada banyak buku yang ditulis oleh Barat mengenai "read-aloud"; faedah "read-aloud", cara membaca buku kepada anak bagi setiap peringkat, cara memilih buku yang sesuai dan banyak lagi. Saya teringat ketika saya bersembang dengan seorang kakak yang mengurut kaki saya (reflexology), "kadang-kadang orang kafir ni lebih menghargai nikmat yang Allah bagi berbanding dengan orang Islam sendiri". Dia menceritakan bahawa asal-usul reflexology adalah dari Mesir iaitu melalui lukisan di dinding. Tetapi orang kafir yang datang dan melakukan penyelidikan terhadap lukisan-lukisan tersebut selama lebih 30 tahun. Ini bukanlah memperkecilkan umat Islam tetapi hikmah-hikmah inilah yang kita sebagai orang Islam perlu ambil dan praktikkannya.
Ini satu buku yang saya beli mengenai read-aloud dan saya sangat tidak sabar untuk menghabiskannya!
Buku ini adalah mengenai cara membacakan buku untuk bayi sehingga umur 2 tahun. Dan saya suka untuk kongsikan sedikit dari buku ini; 10 faedah "read-aloud" :
1- "Read-aloud" mengasah kemahiran mendengar anak.
2- "Read-aloud" menambahkan perkataan yang anak dengar setiap hari.
3- "Read-aloud" mengembangkan daya fokus dan ingatan anak.
4- "Read-aloud" membantu anak mempelajari perkataan yang tidak biasa didengar dalam percakapan harian.
5- "Read-aloud" membantu bayi belajar untuk memahami makna sesuatu perkataan.
6- "Read-aloud" membantu bayi dan anak kecil belajar mengenai konsep tulisan (iaitu tulisan berkait dengan bahasa percakapan, dan simbol tulisan membawa maksud tertentu)
7- "Read-aloud" membantu bayi dan anak kecil belajar mendapatkan maklumat dari ilustrasi.
8- "Read-aloud" mengeratkan hubungan dan menenangkan anak dan juga ibu.
9- "Read-aloud" merangsang imaginasi dan deria anak.
10- "Read-aloud" memupuk minat terhadap buku dan belajar.
Ini pula adalah antara perkara-perkara asas dalam proses "read-aloud" :
1- Bayi yang baru lahir memerlukan persekitaran yang senyap ketika dibacakan buku. Ini untuk mengelakkan overstimulation dan stress kepada anak. Biar anak dengar suara ibu membaca buku sahaja tanpa bunyi gangguan yang lain.
2- Bayi baru lahir berasa tenang apabila mendengar suara ibu. Ini terpulang kepada ibu material apa yang mahu dibacakan kepada anak. Biasanya ia dimulakan dengan buku nursery rhymes. Ada juga yang membacakan kepada anak ruangan stock market dari akhbar kepada anak! Sebagai seorang Muslim sudah pasti membacakan Quran dan hadis Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam kepada anak adalah yang terbaik! Perhatikan reaksi bayi anda apabila dibacakan sesuatu kepadanya.
3- Pegang dan peluk anak apabila ibu membaca. Ini sangat penting! Apabila anda membacakan buku kepada anak dalam keadaan anda dekat dengannya dan memeluk dia, ini bermakna pada waktu ini anda membina hubungan yang erat dengannya dan memberikannya kasih-sayang dan perhatian. Suasana yang positif akan memberi anak isyarat bahawa membaca buku adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana anak akan berada dalam pelukan dan mendapat perhatian ibu. Anak mana yang tidak disuka diberi perhatian lebih-lebih lagi oleh ibu kan?
4- Apabila memilih buku, biarkan anak yang memilih. Momen membaca menjadi suatu saat yang sangat menggembirakan anak kerana dipeluk ibu dan dibacakan cerita kegemarannya.
5- Mula membaca dari mana-mana muka surat. Anda tidak semestinya menghabiskan satu-satu buku, atau mula membaca dari muka surat pertama.
6- Anda tidak perlu membaca semua perkataan dalam satu-satu buku. Biar anak tentukan muka surat mana yang anak suka, bacakan dengan gaya suara yang anak suka, dan berapa lama untuk membaca satu-satu muka surat. Paling penting pada tahap ini ialah mendengar, memerhati dan mengikut petunjuk (cue) anak.
7- Pembacaan yang berulang bagus untuk perkembangan bahasa anak. Sila bertahan jika anak anda meminta anda membaca buku yang sama berkali-kali (walaupun beratus-ratus kali). Ini kerana anak menyerap sesuatu tidak sama seperti orang dewasa. Sedangkan kita orang dewasa pun, sekali dengar kadang-kadang tidak dapat menangkap jalan cerita, inikan pula anak kecil. Anak akan belajar perkara yang berlainan setiap kali dibacakan buku walaupun buku yang sama.
8- Gunakan "parentese" ketika membacakan buku atau bercakap dengan anak. Inshaa Allah saya akan kongsikan kemudian apa itu "parentese".
Jika anda tidak mula membacakan buku kepada anak ketika dia masih bayi, inshaa Allah masih belum terlambat. Saya mula membacakan buku untuk Abdullah beberapa bulan yang lepas. Setakat ini saya sudah nampak minatnya terhadap buku (tapi di rumah tiada TV dan akses video untuknya).
Hmm.. setelah mengetahui sedikit sebanyak mengenai "read-aloud", pernahkah anda terfikir untuk "read-aloud" pada anak al-Quran dan hadis-hadis Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam? Mengapa tidak gunakan metod yang sama untuk memupuk rasa cinta anak terhadap Kalam Allah dan Sunnah Rasul shallallahu 'alayhi wa sallam?
Inshaa Allah berjumpa di post lain! Selamat membaca untuk anak-anak, para ibu!
as salaamualaykum wa rohmatullah wa barakatuh
ReplyDeletemalam ini meluangkan masa utk menjengah blog ili :) nak tanya, sepanjang sesi read aloud ni mmg sepatutnya anak2 berada di riba atau duduk di sebelah kita ke? style anak akak, dia akan duduk diam kejap je dan selepas tu akan buat hal dia eg, bermain, tp masih dlm linkungan yg hampir dgn kita. dan akak terasa mcm anak dah tak minat, so akak stop baca. tp once akak stop, dia akan minta akak sambung habiskan buku tu jugak. biasanya akak mmg akan bacakan saja walaupun ms tu anak2 sibuk main kejar2 atau buat hal lain. (rasa mcm ckp sorg2 pun ada juga.hehehhe). soalannya, betulkah cara akak dan masih dinamakan 'read aloud'kah itu? hihi
ummu numair
saya pernah terbaca kak alin, walaupun anak tengah buat benda lain dan nampak mcm x dengar apa yg kita baca tp sebenarnya he's absorbing more than we thought. nnt saya rujuk smula dalam buku read-aloud basics tu ya?
ReplyDelete