Quote

Every moments that I spend with my children is a blessing from Allah. Inshaa Allah I will try to stick around as long as I could through out their childhood, loving and guiding them all along the way. Hopefully they will remember me, their only mother, when they lead their own life.

Thursday, June 6, 2013

Understanding Attachment - "Filling and Refilling the Cup"

Ketika anak saya menginjak usia 3 tahun, anak mula menunjukkan beberapa sikap yang saya sudah hilang akal bagaimana untuk mengendalikannya. Sehingga akhirnya saya tahu saya perlu mendapatkan bantuan. Saya cuba mendapatkan bantuan melalui perkongsian pengalaman dengan saudara-mara, namun approach yang dicuba kurang berjaya. Akhirnya, saya membeli beberapa buah buku parenting untuk mencari sedikit idea bagaimana untuk berhadapan dengan anak yang sedang marah, anak yang sedang mengamuk, anak yang sedang kecewa kerana tidak berjaya buat itu ini dan sebagainya.

Benar kata-kata yang menyebut 'knowledge is power'. Ya, bila kita ada ilmu, dengan izin Allah jua, kita boleh berusaha menjadikan keadaan lebih terkawal (walaupun ada juga masa kita gagal tapi sekurang-kurangnya kita nampak mana yang salah, mana yang silap). Daripada pembacaan saya melalui beberapa buah buku, ada banyak cara dan kaedah yang dicadangkan untuk menangani anak yang sedang marah atau tantrum.

Insha Allah dalam post kali ini, saya ingin berkongsi satu cara bagaimana berhadapan dengan anak yang sedang mengamuk, atau adik-beradik yang sedang bergaduh. Malah boleh di-apply dalam banyak aspek insha Allah. Setakat ini cara ini banyak membantu saya alhamdulillah.

Kadang-kadang buku-buku ini bukanlah memberikan kita manual macam mana nak kendalikan anak, anak bukan mesin. Tetapi ada sesetengah buku yang bagus, penulis atau pakar dalam bidang ini mencadangkan ibubapa supaya melihat anak dari sudut pandang yang berbeza. Iaitu memahami kenapa sebenarnya anak mengamuk? Kenapa anak memukul? Kenapa anak menjerit-jerit? Kenapa adik-beradik suka berebut dan tidak mahu berkongsi? Semua ini ada penjelasan dari sudut saintifik. Bila ibubapa tahu bahawa 'masalah-masalah' tadi bukanlah sesuatu yang dibuat-buat oleh anak, insha Allah ibubapa lebih mudah menerima keadaan anak, baik ketika anak gembira ataupun sedih.

Pernah tak ibu-ibu dengar mengenai 'attachment'? Pertama kali saya dengar perkataan ini melalui page FB 'The Dangers of Baby Training'. Attachment bermaksud ikatan sosial/emosi yang sangat dalam antara anak dan penjaga (ibu/ayah/babysitter), yang menghasilkan kontek yang berterusan dan boleh menyebabkan stress apabila berjauhan. Ya, attachment boleh berlaku antara anak dengan penjaga selain ibu. Biasa kita lihat anak kecil menangis kalau berjauhan dengan pengasuh atau bibik. Ini kerana attachment terjalin daripada perlakuan yang responsif secara berulang antara bayi dan orang dewasa. Kunci utama bagi secure attachment ialah responsiveness - a sensitive response to the child's needs by the caregiver.

Ketika membaca buku 'Playful Parenting' oleh Dr. Lawrence Cohen (buku ini saya belum sudah membacanya, sekadar membelek-belek, membaca topik-topik yang diperlukan pada masa tu), penulis menerangkan konsep attachment ini dengan lebih mendalam dan beliau menerangkan bagaimana attachment boleh mempengaruhi perlakuan anak. Bagi memudahkan ibubapa memahami konsep ini, beliau menyamakan attachment ini dengan metafora "filling and refilling the cup". Saya dapati metafora ini sangat membantu saya memahami keperluan anak.

Penjaga utama (ibubapa) adalah tangki air utama bagi anak. Dari ibubapa anak mendapat bekalan air untuk meneruskan kehidupan. [Air = kasih sayang dan perhatian] Tangki air ini juga adalah tempat anak bermula dan tempat anak kembali semula untuk top-up bekalan setelah berjauhan dengan ibu untuk tujuan eksplorasi. Keperluan anak untuk attachment menunjukkan cawan anak telah kosong atau hampir kosong; contohnya apabila anak lapar, penat, sunyi, cedera, marah, kecewa dan lain-lain. Dan cawan ini di-refill oleh ibu dengan memberi makan, menidurkan, bermain dan memberi perhatian, menenangkan anak yang menangis kerana luka, memujuk anak yang marah, sedih dan sebagainya. Cawan anak yang kosong menunjukkan bahawa adanya keperluan anak yang perlu dipenuhi oleh ibu (refilling the cup). Anak yang cawannya sentiasa penuh akan rasa selamat untuk membesar dan menjalani tugasan perkembangan mereka dengan baik. Inilah yang dinamakan securely attached.

Apabila cawan anak penuh, anak akan rasa selamat untuk bermain, menjelajah dan belajar. Ketika mereka berjauhan dengan ibu, mereka akan gunakan cup mereka yang penuh untuk menenangkan diri sendiri, mengawal emosi, menumpukan perhatian, berhubung dengan kawan-kawan secara baik, dan mereka mempunyai pandangan yang baik terhadap diri mereka sendiri. Lama-kelamaan cawan mereka hampir kosong dan mereka akan kembali kepada ibu untuk mendapatkan refill semula. Sebab itu, adakalanya ibu dapati anak mereka akan mengamuk apabila pulang dari daycare atau rumah pengasuh; sedangkan di rumah pengasuh mereka seharian elok-elok saja. Itu adalah tanda cawan mereka hampir kosong dan mereka perlukan ibu untuk memenuhi semula cawan mereka dengan kasih sayang, perhatian, bermain, bergelak ketawa bersama, memeluk mereka. membacakan buku untuk mereka dan lain-lain, sebagai bekal untuk mereka berjauhan dengan ibu esok hari.

Ada banyak lagi special case mengenai cup ini; bagaimana jika cup anak sentiasa kosong dan dibiarkan kosong untuk tempoh yang lama, bagaimana dengan anak yang cup-nya bocor refill banyak kali pun asyik kosong aja :D, bagaimana dengan anak yang berebut untuk mendapatkan refill dari ibu, bagaimana dengan anak yang ibu telah bersedia untuk beri refill tapi anak tutup pula cawannya dan pelbagai lagi. Namun saya dapati perkara asas yang saya tulis di atas buat masa ini memadai untuk saya melihat dan memahami perlakuan anak dengan lebih baik.

Melihat perlakuan anak dengan metafora ini adalah sangat membantu. Sebagai contoh, hari ini, anak saya ke hospital dengan Babanya. Mereka keluar lebih kurang dalam 3 jam. Pulang sahaja ke rumah, anak terus duduk di riba saya sambil saya bersembang dengan suami. Tidak lama selepas itu, dia ambil buku cerita dan minta saya bercerita kepadanya. Dalam hati saya 'Oh, mungkin cawan Abdullah hampir kosong dan dia minta saya mengisinya semula. Mudah-mudahan di luar tadi dia behave dengan baik' :)

Begitu juga ketika anak-anak bermain dan kemudian bergaduh; bila si adik mahukan sesuatu yang abang sedang main, abang marah kerana tak bagi (abang panik takut haknya hilang), adik pula sedih dan cemburu mahukan mainan yang sama. Cup kedua-duanya hampir kosong. Cup abang di-refill apabila saya memelihara haknya dengan dia rasa selamat, manakala cup adik di-refill dengan cara memeluk dan menenangkannya. Alhamdulillah setakat ini metafora ini memang membantu saya melihat 'misbehavior' anak sebagai keperluan emosi yang mesti dipenuhi ibu dan saya boleh kurangkan marah pada anak kerana tahu ia bukan dibuat-buat atau mengada-ngada.

Seperkara yang ingin saya sentuh, memukul, menengking dan memarahi anak tidak sekali-kali akan memenuhkan cawan anak. Kerana semua itu hanya mendatangkan rasa sakit dan tidak menyenangkan pada anak. Ianya hanya akan mengosongkan lagi cawan anak. Perkara positif yang mengalir dari ibu kepada anak hanyalah kasih sayang. Inilah yang membuatkan anak rasa selamat di dunia yang bercampur-baur baik dan buruk.

Dan sudah tentulah, ibu sebagai tangki air utama perlu memastikan sumbernya tidak terhad dan berkurangan iaitu cup ibu juga perlu di-refill dengan memulakan hari dengan solat, membaca al-Quran, berdoa, zikrullah dan mengerjakan amal soleh. Selain itu persediaan dan pengurusan yang baik juga memastikan ibu berada dalam state yang baik untuk menguruskan anak seharian (walaupun tidak selalunya terurus hehehe). 

Bagi saya idea-idea ini sebenarnya hanyalah untuk membantu kita dapat berkomunikasi dengan anak dengan lebih baik. Semua kita tahu yang kita perlu mendidik anak, mengajar anak ilmu itu ini, mengajar anak value itu ini. Tetapi bagaimana proses asimilasi ini berlaku perlulah ada hubungan yang baik antara ibu dan anak. Kalau anak asyik menangis, ibu pula asyik menjerit marah-marah, bagaimanakah kita hendak mendidik anak menjadi jiwa yang taat kepada Allah? At the end of the day, we do it for one reason that is to please Allah 'Azza wa Jalla and we hope to educate our children to be souls that will please Allah too, and that later will get their refills from performing good deeds, being pious and obedient to Allah.

Boleh kawan-kawan kongsi perlakuan anak yang menunjukkan cup mereka kosong dan bagaimana cara anda refill semula?